October 25, 2011

A real class act

For teachers, the classroom is like a stage as they address and entertain their ‘audience’.


DILLA and I had been munching sunflower seeds in between watching a repeat of a programme on the local awards night for actors on television when she turned to me with a frown and said “Pshaww….”

I told her that talking with her mouth full of food was not done in polite circles, indicated a lack of good breeding and apart from that, scattered my newly-vacuumed floor with half-chewed particles of food.

Dilla took a swig of mineral water, and in a tone of deep disgust said, “Those people up there (she pointed a grubby finger at the television screen) shouldn’t be getting all those awards. Best actor, best actress, best supporting actor … all of that … going to the wrong people.”

I began to say that I thought some of the actors were “okay” when Dilla continued in the tone usually reserved for telling the student who got a 38% score on his test the reason why he didn’t deserve the extra two marks to make the passing grade.

Guru SMKB 2011

October 17, 2011

Parallel Universe

Di dalam dunia Fizik, terdapat satu teori yang dapat menjelaskan keberadaan segala entiti yang dipanggil jin dan syaitan.Teori ini dikenali sebagai Parallel Universe. Mengikut teori ini, dunia yang kita duduki ini sebenarnya berada di dalam dimensi lebih besar. Istilahnya, dunia kita 'terbungkus' di dalam dimensi Matrix yang lain, yang lebih besar. Katakan kita berhidup di dalam 3 dimensi ruang. Dunia 3 dimensi ini pula terbungkus di dalam 4 dimensi ruang. Namun di dalam 4 dimensi ruang ini terdapat banyak lagi 3 dimensi ruang di dalamnya. Walaubagaimana pun semua dunia 3 dimensi ruang ini tidak berhubung di antara satu sama lain. Dengan kata lain, entiti di dalam satu dunia 3 dimensi tidak dapat berhubung dengan entiti di dunia 3 dimensi yang lain secara langsung. Ini adalah maksud yang sederhana, sebagai permulaan.

Inilah asas kepada apa yang dikatakan Dunia Yang Selari. Dengan kata lain terdapat dunia lain yang sama dimensi dengan kita tetapi deria kita tidak dapat menyentuhnya. Mengapa? Kerana terdapat satu konsep lain yang akan menerangkan mengapa dunia-dunia ini berkongsi hidup dan tempat tinggal dengan kita, tetapi pada masa yang sama kita tidak dapat melihat mereka, menyentuh mereka atau mendengar mereka bercakap-cakap. Di dalam Parallel Universe, terdapat banyak dunia yang berkongsi dalam satu tingkat Matrix. Dunia-dunia ini berhidup dalam peraturan mereka yang tersendiri. Tidak diketahui berapakah jumlahnya dan apakah yang ada di dalamnya, tetapi setiap subMatrix ini sudah pasti memiliki format dan setup yang berbeza dari Matrix manusia, atau lebih tepat lagi Matrix di mana manusia dapat mengesan melalui derianya. SESUNGGUHNYA MANUSIA HIDUP DI DALAM MATRIX DERIANYA SAHAJA. Jika manusia melihat sehelai daun berwarna hijau, adakah entiti lain dari parallel world yang lain melihat daun itu dengan warna dan bentuk yang sama dengan manusia? ADAKAH DUNIA INI BENAR-BENAR SEPERTI YANG DIGAMBARKAN OLEH DERIA-DERIA KITA? Sebenarnya kita terkurung di dalam dunia deria kita sahaja. Orang yang terkurung di dalam dunia derianya, tidak akan dapat keluar dari Matrixnya. Dia akan tetap terkurung di dalam Matrix sehingga dikeluarkan secara 'paksa' di dalam Matrix ini setelah sampai masanya.

Jadi di manakah para Jin atau 'hantu' ini hidup? Mereka hidup di dalam Matrix yang sama dengan kita, tetapi berselari di dalam dimensi Matrix ini. Inilah dia Parallel Universe.

Bagaimana entiti-entiti dalam dunia yang berselari ini dapat berhubung?

Untuk menjawab soalan ini, kita mesti tahu dulu prinsip asas Fizik Kuantum tentang entiti-entiti yang berlainan dimensi .Kita mesti mengetahui dahulu apakah yang dinamakan sebagai 'dimensi' dan 'ruang’. Kita perlu tahu apakah perbezaan antara 'Matrix' dan 'Dimensi'. Ini kerana soalan ini hanya boleh dijawab menerusi Kuantum Graviti, M-Theory dan Superstring Theory.



Dimensi secara sederhana adalah bermaksud ukuran. Kita menafsirkan dunia ini berdasarkan ukuran-ukuran. Dunia ini lebih bermakna jika kita tahu bahawa bola ping-pong lebih kecil dari bolasepak. Lebih bermakna jika kita tahu bahawa KLCC lebih tinggi dari Komtar. Berapa besar? Berapa tinggi? Berapa luas? Berapa panjang? Ini adalah asas kepada aplikasi Matematik. Kita gunakan Matematik untuk menerangkan dunia ini. Kita menjelaskan sebahagian dunia ini dengan angka-angka.

Jadi dimensi berkaitan dengan ukuran. Berapakah dimensi tapak rumah anda? Soalan ini bercakap tentang UKURAN. Ukuran adalah satu kuasa yang ada pada manusia untuk mengetahui perkara-perkara yang lain. Berapa besar dunia ini? Berapa kecil setiap hati nyamuk yang dikumpulkan dalam kisah Puteri Gunung Ledang?

Panjang, tinggi, lebar, luas dan sebagainya adalah komponen dimensi. Semua konotasi ini membentuk ukuran ruang kita. DAN MENJELASKAN GAMBARAN SEBENAR RUANG YANG KITA TINGGAL DI DALAMNYA. Bagaimana sebenarnya rupa ruang yang kita tinggal ini? Kita mulakan dengan tingkatan dimensi.
    
1 Dimensi: Hanyalah satu garisan panjang. Garisan ini tidak tertutup, maknanya jika ada dua garisan selari, ia tidak bercantum dikedua-dua hujung. Pada satu garisan, komponen yang jelas adalah PANJANG.

2 Dimensi: Garisan tertutup. Bayangkan sebuah bulatan, atau sebuah segiempat sama. Pada segiempat sama kita dapati ada dua komponen iaitu PANJANG dan LEBAR.

3 Dimensi: Garisan tertutup dengan titik pandangan (point of view). Bayangkan segiempat sama tadi menjadi berbongkah. Kita akan dapati 3 komponen dimensi iaitu PANJANG,LEBAR dan DALAM.

4 Dimensi: 3 Dimensi ruang dan 1 Dimensi masa.

Sampai di sini ilmu dimensi dapat diterangkan dengan bahasa yang sederhana. Tambahan pula Fizik asas menjelaskan manusia hidup dalam ruang 4 dimensi sebenarnya (3 dimensi ruang dan 1 dimensi masa), dengan kata lain ruang yang bergerak dalam satu garis masa yang abstrak. Ini adalah Fizik paling asas untuk menerangkan dunia fizikal kita. Namun untuk menerangkan lebih jelas lagi,kita perlukan Fizik Kuantum.


"Fizik Kuantum adalah ilmu yang cuba untuk menerangkan dunia ghaib secara saintifik"(anonymous)

Di dalam dimensi asas ini manusia cuba untuk memikirkan banyak perkara. Salah satunya cahaya. Cahaya telah lama menarik minat manusia untuk mengkaji alam ini. Apakah yang menjadikan cahaya? Adakah ia mempunyai berat? Adakah ia berjisim?

Ini membuka persoalan yang lebih besar, adakah kita boleh menyeberang ke dimensi lain?

-------------------------------

Parallel Universe: Dunia yang berselari. Dalam 'Parallel Universe' dunia yang berselari ini mungkin akan menindan antara satu sama lain. Dalam Fizik Kuantum, alam-alam di dalam 'Parallel Universe' berhubung dengan perantaraan TENAGA. Dalam String Theory bergabung dengan Mekanik Kuantum, alam-alam ini dapat berhubung melalui membran yang sama, jika 'string' yang lain dapat 'terbang' dan melekat dalam satu membran. Dalam Graviti Kuantum bergabung dengan Elektromagnetik Kuantum, mungkin terdapat daya Foton atau Graviton yang menyokong perhubungan antara partikel.

--------------------------------

Adakah anda pernah bermimpi, di mana anda merasakan ia benar-benar terjadi? Bagaimana jika anda tidak bangkit dari mimpi itu? Bagaimana anda dapat membezakan antara dunia mimpi dan dunia sebenar?

October 12, 2011

90 Peratus kanak-kanak ketagih layari internet


Pelan strategik lindungi kesan negatif siber dirangka

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka.

Kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet. - Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

“Jadi, kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-kanak Dalam Alam Maya (Child Online Protection) dan pelancaran buku Guide to a family friendly internet experience, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.
Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu.

“Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum kita melakukannya secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.


Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48). Sumber

October 11, 2011

Kereta tertua di dunia dilelong AS$4.6 juta

1884 De Dion Bouton Et Trepardoux Dos-A-Dos Steam Runabout

WASHINGTON: Kereta yang dianggap tertua di dunia yang menggunakan kuasa stim dan masih boleh digunakan, dijual dengan harga AS$4.6 juta (RM14.2 juta) dalam satu lelongan.

Kereta buatan De Dion-Bouton et Trepardoux Dos-a-Dos Steam Runabout atau lebih dikenali sebagai “La Marquise,” yang dikeluarkan di Perancis pada 1884, dijual dua kali ganda daripada harga anggarannya dalam lelongan di Hershey, Pennsylvania, Jumaat lalu.

Syarikat lelongan, RM Auctions memaklumkan kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 61 kilometer sejam dan sejak 127 tahun usianya kereta itu hanya mempunyai empat pemilik saja.

Pemilik terakhirnya ialah seorang pengumpul antik, dari Texas, John O’Quinn yang membeli kereta klasik yang pertama kali menyertai satu perlumbaan kereta pada 1887 dengan harga AS$3.5 juta pada 2007.

Kereta itu juga pernah menyertai perlumbaan antara London ke Brighton.

Bagaimanapun, pemilik terbaru kereta itu tidak didedahkan kali ini.

Media Amerika bagaimanapun mendakwa ada sebuah lagi kereta yang kini terletak dalam Muzium Kereta Nasional Britain, yang turut didakwa sebagak kereta tertua di dunia. Kereta buatan British itu dikeluarkan pada 1875 oleh Robert Neville Grenville yang hanya mempunyai tiga roda. - AFP

October 10, 2011

PERMOHONAN KEMASUKAN KE KOLEJ VOKASIONAL, SM VOKASIONAL DAN SM TEKNIK TAHUN 2012



Murid-murid yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 adalah dipelawa untuk memohon ke Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi sesi pengambilan tahun 2012.

Syarat-syarat Umum:
  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • Pemohon hendaklah berada di Tingkatan 3 dan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
  • Dilahirkan dalam tahun 1996 atau selepasnya.
  • Sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal. Bebas dari penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) yang serius dan sebagainya. (Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja amali).
  • Tidak rabun warna bagi semua program Teknikal, Vokasional dan Kemahiran yang berkaitan Elektrik dan Elektronik. 
Cara Memohon:
  • Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web: Kementerian Pelajaran Malaysia atau datang sendiri (walk-in) ke KV/SMV/SMT berhampiran.
  • Tarikh bermula permohonan: 5 September 2011.
  • Tarikh tutup permohonan: 19 Disember 2011.

60,000 pelajar kita ketagih FB

Remaja habiskan masa 4 jam sehari layari internet, kerap menipu, antisosial


KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).

Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial.” Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia

Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB.

“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial.

Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial,” katanya.

October 6, 2011

1,765 pelajar sakit mental


Projek printis latih 279 guru kendali masalah emosi 

PUTRAJAYA: Lebih 27 peratus atau sekitar 1,765 daripada 6,540 pelajar enam sekolah menengah di seluruh negara yang terbabit dalam projek perintis kelolaan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dikesan mengalami tanda-tanda masalah kesihatan mental yang teruk.

Sebanyak 4.8 peratus atau 313 pelajar didapati mengalami masalah tekanan yang teruk, tanda keresahan yang teruk (17.1 peratus atau 1,118 pelajar) dan tanda kemurungan yang teruk (5.2 peratus atau 340 pelajar).

Sehubungan itu, semua pelajar terbabit sudah diarah untuk menjalani program intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental, manakala 279 lagi guru sudah dilatih untuk mengenal pasti dan mengendali masalah emosi, tingkah laku dan permasalahan mental di kalangan murid.

Latihan kemahiran daya tindak itu membabitkan antara lain kemahiran untuk menangani stres atau tekanan.

Projek Rintis Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah itu dijalankan selama enam bulan mulai Mac hingga September lalu bertujuan memperkasakan pelajar bagi menangani tekanan akibat cabaran kehidupan seharian menerusi kemahiran daya tindak.

Ia juga bertujuan memberi kemahiran kepada guru untuk mengenal pasti serta mengendalikan murid yang mengalami masalah emosi dan tingkah laku.
Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata program itu akan diperluaskan di semua sekolah menengah di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan mental di kalangan murid dan warga sekolah.

Projek perintis ini bukan saja bertujuan mengenalpasti masalah tekanan, keresahan dan kemurungan di kalangan pelajar, ia juga diharap mampu mengesan keupayaan daya tindak yang dimiliki oleh pelajar, bagi menangani masalah terbabit.

“Dengan adanya data ini, usaha dapat dilaksanakan bagi memperkukuhkan keupayaan daya tindak berkenaan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental yang berlangsung kira-kira tiga jam di sini, semalam.

Berdasarkan kajian itu, keupayaan daya tindak pelajar mencatatkan kadar 13.1 peratus (baik), 48.3 peratus (sederhana), 37.7 peratus (ringan) dan 0.9 peratus (teruk).

Justeru, Liow berkata, data itu akan digunakan untuk melaksanakan program bagi meningkatkan daya tindak di kalangan pelajar bagi mengurangkan dan menghapuskan statistik bagi kategori ringan serta teruk.

Mengulas punca masalah kesihatan mental di kalangan pelajar, katanya, ia hanya dikenal pasti selepas pelajar terbabit dirujuk kepada kaunselor kerana projek itu mengesan daya tindak pelajar berdasarkan 21 soalan yang dikemukakan.